KEMBANGKAN WANG ANDA SECARA ISLAM dan PROFESIONAL

KEMBANGKAN WANG ANDA SECARA ISLAM dan PROFESIONAL

Isnin, 9 Mac 2009

TUNGGU! PASARAN AKAN TURUN KE PARAS TERENDAH. BETULKAH?


Segelitir orang mempunyai pandangan yang kreatif. Itu tidak salah. Bagaimanapun, terdapat pandangan yang berbentuk sentimen. Ia diutarakan tanpa asas (data dan analisis) yang tepat.

Kita menerima hakikat bahawa sekarang adalah musim ekonomi dunia menurun. Ia adalah wajar selepas pasaran saham dan ekonomi meningkat tinggi pada awal tahun lepas. Turun dan naik pasaran saham dan ekonomi suatu yang biasa (telah saya jelaskan dalam artikel yang lepas). Kedua-duanya adalah peluang yang baik.

Apa yang ingin saya utarakan kali ini ialah terdapatnya orang yang berani meramal bahawa pada sekian-sekian bulan pasaran saham akan menurun ke tahap terendah. Apabila ditanyakan apakah pentingnya keadaan itu? Kata mereka itulah saat yang mereka anggap terbaik untuk mula melabur dan menabung.

Kisah seorang bakal pelabur saya, apabila saya pelawa supaya mulakan pelaburan pada bulan September 2008 yang lepas, beliau menolak. Alasan beliau waktu itu tidak sesuai, beliau ingin menangguhkannya kerana katanya bulan Mac 2009 pasaran saham akan menurun ke tahap terendah di mana KLCI akan berada pada 600 - 700 mata. Melabur pada masa itu paling murah dan membolehkan beliau mengaut untung tertinggi apabila KLCI meningkat kepada 1000 mata dalam 2 tahun. Dia amat yakin sekali dengan ramalannya. Apapun saya tidak pasti, data apa dan dari mana yang digunakannya untuk membuat unjuran begitu.

Baru-baru ini saya mendengar pula ramalan baru iaitu pasaran saham akan menurun ke tahap terendah pada bulan Jun 2009. Kemudian saya dengar pula ada di kalangan pelabur saya bertanya sama ada betul pasaran akan turun lagi pada bulan Julai 2009. Saya juga menerima satu ramalan lain daripada seorang bakal pelabur saya yang pasaran saham akan menurun ke tahap paling rendah pada bulan Oktober 2009 dan mula menaik pada bulan November 2009.

Semenjak saya mencaburkan diri dalam industri ini, banyak juga saya belajar dan mengikut ceramah serta analisis daripada pihak-pihak yang pakar dalam bidang saham dan ekonomi, namun belum pernah sekalipun saya mendengar seorang pakar berani meramalkan pasaran saham akan naik ke paras tertinggi atau turun ke tahap terendah pada bulan-bulan berkenaan.

Saya juga mengikuti nasihat dan petua daripada pelabur terhebat dan manusia terkaya di dunia, Warren Buffet, namun tidak pernah beliau berkata para pelabur perlu meramal masa untuk memulakan pelaburan. Meramal dan menangguhkan pelaburan juga bukanlah strategi yang pernah disarankan oleh Warren Buffet.

Nasihat saya, tidak usahlah kita menjadi ahli ramal atau ahli nujum untuk membina kewangan. Tiada siapa boleh meramal apa yang akan berlaku esok. Seorang pekerja yang telah bekerja dengan majikan selama 40 tahun pun tidak mampu meramal apa yang akan terjadi kepada syarikat dan majikanya esok atau bulan depan.

Sebagai pelabur atau orang yang ingin mengumpul kekayaan melalui pelaburan, kembali kepada strategi paling ampuh iaitu LEBIH AWAL MELABUR + LEBIH KERAP MELABUR + LEBIH BANYAK MELABUR + LEBIH LAMA MELABUR = LEBIH UNTUNG.

Isnin, 2 Februari 2009

HARGA UNIT SAHAM TELAH DISKAUN 40%

Salam para pelabur amanah saham yang budiman.

Dua soalan mudah ingin saya tanyakan kepada anda.
Pertama:
Jika harga barangan atau perkhidmatan sudah turun atau diskaun lebih 40% adalah ianya baik untuk dibeli?
Saya pasti pengguna biasa seperti anda berkata, "ya, bagus tu, elok kita beli".

Soalan kedua:
Jika kita adalah peniaga, adakah diskaun 40% itu wajar diberikan kepada pelanggan?
Yang ini juga saya pasti anda akan berkata "ya".

Itulah yang sudah berlaku kepada pasaran saham kita di Malaysia ini. Petunjuk bursa kita KLCI telah mencatat penurunan sebanyak 43% pada 3 bulan yang lepas. Itu adalah paras terendah yang dicatatkan sejak pasaran kita menurun mulai bulan Januari 2008.
Untuk pengetahuan anda, penurunan pasaran saham Malaysia yang terendah ialah pada tahun 1973 iaitu sebanyak 45%. Manakala purata masa pasaran kita berada di bawah atau lebih dikenali dengan istilah 'bear market' ialah selama 10 bulan.

Sektor ekonomi juga sudah menunjukkan kesan-kesan akibat daripada penurunan pasaran saham itu.

Jadi, kesimpulannya ialah pasaran sudah memberi diskaun yang sepatutnya kepada harga-harga unit saham. Ia perlu naik semula. Isyarat-isyarat yang pasaran sedang menaik juga sudah menjelma.

Saranan saya, bagi anda yang ingin melabur, teruskan melabur sekarang.
InsyaAllah dalam tempoh 3 tahun akan datang anda boleh menuai hasil yang lumayan.

Selamat Melabur.

RZK