KEMBANGKAN WANG ANDA SECARA ISLAM dan PROFESIONAL

KEMBANGKAN WANG ANDA SECARA ISLAM dan PROFESIONAL

Isnin, 30 Jun 2008

BUAT UNTUNG DENGAN MEMANFAATKAN KEADAAN


Sebelum saya memberikan tip berguna untuk anda manfaatkan, sekali lagi ingin saya jelaskan bahawa pelaburan Unit Amanah direkabentuk untuk tujuan kewangan jangka sederhana dan panjang. Antara tujuan utama Unit Amanah ialah:-

- untuk menyediakan wang yang secukupnya bagi perbelanjaan hidup yang selesa sepanjang hayat selepas pencen;
- menyediakan dana pendidikan anak-anak yang dirancang masuk ke universiti;
- menyediakan wang yang secukupnya untuk membeli rumah;
- mengumpul kekayaan (cth. RM1 juta pada usia 45 tahun);
- menyelamatkan wang (modal dan untung) yang sedia ada; dan
- pelbagai tujuan peribadi yang lain.
Ia memerlukan tempoh pelaburan lebih dari 3 tahun. Dengan kata lain, apabila anda melabur dalam Unit Amanah, anda perlu faham bahawa ia adalah untuk kegunaan 3 tahun ke atas. Ia tidak sama sifatnya dengan simpanan biasa. Wang pelaburan dengan wang untuk kegunaan jangka pendek perlu diasingkan. Wang (modal) pelaburan adalah untuk dikembangkan supaya menjadi lebih aktif dan banyak. Bagi kegunaan semasa, ia perlu diletak dalam akaun simpanan biasa di bank.

Bagaimana anda boleh buat untung besar dengan keadaan pasaran ekonomi sekarang?
Ya, anda memang boleh memanfaatkan situasi sekarang. Pada hari ini Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) yang menjadi kayu penunjuk pasaran saham dan ekonomi am semasa berada pada paras 1186 mata. Pada pengamatan saya ini adalah angka terendah yang dicapai dalam tempoh setahun kebelakangan. Dalam tempoh 6 bulan ini pasaran saham kita agak mendatar dan secara puratanya ia berada pada paras rendah dalam tempoh 3 tahun. Oleh itu adalah menjadi peluang kepada kita semua yang merupakan pelabur Unit Amanah untuk menggiatkan usaha menambah pelaburan. Inilah masa melabur banyak-banyak. Ia boleh diibaratkan sebagai masa ’bercucuk tanam’ atau ada juga pelabur saya yang menggelarkannya sebagai masa ’membeli belah’, ’big sale’, ’mega shopping’ dan ’jumble sale’.
Tujuan kita menambah pelaburan pada masa ini ialah untuk mengumpul lebih banyak unit. Unit-unit yang kita beli sekarang ini akan kita jual pada masa akan datang mengikut tahun bila kita memerlukannya. Untungnya anda menambah pelaburan sekarang ialah kerana anda akan dapat lebih banyak unit. Contohnya, jika anda telah melabur RM10,000 dalam Dana ABC pada harga RM1 seunit setahun yang lalu di mana pasaran adalah lebih tinggi daripada sekarang, anda telah mendapat 10,000 unit saham. Jika anda melabur RM10,000 lagi sekarang, pada pasaran yang lebih rendah dan murah dengan harga Dana ABC hanya RM0.80 seunit, anda mendapat 12,500 unit. Jadi unit saham anda kini terkumpul sebanyak 22,500.
Jika pasaran menurun lagi, katakan harga unit Dana ABC merendah kepada RM0.60. Bagi pelabur bijak tentu anda akan menambah lagi pelaburan. Katakan anda menambah pelaburan RM10,000 lagi pada harga unit RM0.60, bermakna anda mendapat 16,666 unit. Unit terkumpul anda sekarang sudah menjadi 39,166 (10,000+12,500+16,666).
Pada masa ini kos pelaburan anda semakin rendah. Pada asalnya kos pelaburan anda ialah RM1 untuk seunit dana, tetapi kini kos pelaburan anda hanya RM0.77 seunit (RM30,000 / 39,166).
Sudah pasti pula dalam beberapa bulan akan datang anda akan menerima agihan (dividen) tahunan. Katakan agihannya ialah RM0.05 (5 sen) seunit, pada harga dana RM0.80, ia akan menambah unit anda lagi. RM0.05 X 39,166 unit = RM1,958.30. RM1,958.30 X RM0.80 seunit = 1,566.64 unit. Jadi unit terkumpul anda sekarang ialah 40,732.64 unit. Berapakah kos pelaburan anda sekarang? Ya, hanya RM0.74 seunit. Bukankah ini menguntungkan?
(Perhatian: 1. Amaun setiap pelaburan tambahan minimum ialah RM100, tidak semestinya sama dengan jumlah pelaburan awal. 2. Penambahan boleh dibuat banyak kali mengikut keselesaan kewangan dan masa. 3. Strategi ini hanya untuk satu dana yang sama, tidak sesuai dialihkan (switch) ke dana lain dalam kategori sama yang harga unitnya berbeza)


Untuk meyakinkan anda, pasaran dan ekonomi kita pasti akan tinggi semula. KLCI pasti akan naik semula. Ini lumrah dan perkara biasa. Setiap jatuh pasti ada naik dan setaip kenaikan pasti ada menurun. Itulah adilnya pasaran, kerana tiada siapa di kalangan pemilik-pemilik syarikat, konglomerat , usahawan dan ahli politik yang mahu ekonominya sentiasa menurun. Teori dan sejarah (amali) telah membuktikan bahawa pasaran pasti akan naik selepas kejatuhan. Setiap kenaikan ada baiknya dan setiap kejatuhan juga ada baik dan peluangnya. Sebab itu juga, Unit Amanah dibentuk untuk memberi keadilan kepada para pelabur, setiap 3 tahun pasti ada perubahan. Laburlah untuk 3 tahun dan ke atas. Anda pasti untung.

Andaikan pelaburan anda sudah berusia 3 tahun pada 2 tahun akan datang. Andaikan juga harga Dana ABC menaik semula tetapi tidak banyak hanya kepada RM0.90 seunit. Iaitu kurang 10 sen daripada harga asal semasa anda mula melabur. Pada waktu itu anda ingin menjual kesemua unit dana pelaburan anda.
Sebelum itu anda perlu ingat, ada 2 kali lagi agihan tahunan yang telah diberikan iaitu pada tahun kedua dan ketiga. Katakan agihannya adalah sama seperti tahun pertama tadi iaitu RM0.05 seunit, juga pada harga RM0.80. Jadi unit terkumpul anda pada tahun ketiga ialah sebanyak 44,056.40.
Apabila anda jual unit amanah anda pada waktu itu anda akan memperolehi RM39,650.80. Berapakan untung anda?
Ya, RM9,650.80 (RM39,650.80 – RM30,000). Berapakah kadarnya? Kadar pulangan keseluruhan yang anda terima ialah 33% untuk pelaburan 3 tahun itu atau 11% keuntungan setiap tahun. Dengan kata lain, anda tidak perlu menunggu lama atau harga unit dana anda naik melebihi RM1 untuk membuat untung besar. Anda boleh melakukannya sekarang!
Selamat Melabur–Ambil Kesempatan Semasa Pasaran Menurun & Harga Rendah!

Khamis, 5 Jun 2008

Harga Minyak Naik! Tarif Elektrik Naik! Beras Naik!


Adakah kenaikan harga barang dan perkhidmatan suatu yang terlalu asing? Ya, jawapannya TIDAK. Kenaikan harga akan terus berlaku kerana ia adalah sebahagian daripada sistem ekonomi dan kehidupan. Saya banyak kali mendengar bapa, datuk dan orang-orang tua bercerita tentang kehidupan di zaman muda mereka. Mereka membeli nasi lemak hanya berharga 5 sen dan minum kopi di kedai dengan harga 2 sen. Pada zaman persekolahan saya pula, dengan 30 sen belanja sekolah saya dapat membeli semangkuk laksa dan segelas sirap. Hari ini anak-anak saya, saya bekalkan RM1 untuk membeli makanan dan minuman yang sama. Percayalah tahun hadapan anak-anak saya perlukan RM2 untuk mendapatkan barangan yang sama. Inilah inflasi.
Inflasi tidak akan berhenti, ia sebahagian daripada kehidupan. Kita perlu menyedari dan menerimanya. Ia adalah hakikat - kita tidak berupaya benar mengelaknya.
Dengan kadar inflasi sekitar 3% setahun di Malaysia, perbelanjaan tahunan kebanyakan daripada kita yang bernilai RM36,000 setahun (RM3000 sebulan) sekarang adalah sama nilainya dengan RM56,000 pada 15 tahun akan datang. Maknanya jika hari ini anda dapat memenuhi perbelanjaan isi rumah anda dengan RM36,000 setahun, tetapi pada tahun 2023 nanti anda memerlukan RM56,000 untuk mendapatkan barang dan perkhidmatan yang sama seperti hari ini. Anda Sudah BERSEDIA?
Jadi jika anda ingat terus hidup, anda perlukan perancangan kewangan yang betul. Anda perlu menjadi orang yang tahu tentang pelaburan, simpanan dan perniagaan. Tidak penting skala besar atau kecil, yang amat perlu ialah anda mengetahuinya, yang amat terdesak ialah anda mula BERTINDAK melabur sebahagian daripada duit anda sekarang untuk keperluan masa depan. Jangan anda habis belanjakan duit gaji anda. Labur untuk masa depan.

7 Sebab BESAR Orang GAGAL Bisnes/Membina Kewangan

1. Kabur Tentang Erti KAYA
Apabila disebut sahaja perkataan ’kaya’ orang ini mula melangkah ke belakang, menundukkan muka, mencebihkan bibir atau menggelingkan kepala. Apabila ditanya, ”adakah anda buat bisnes ini untuk kaya?” Orang ini menjawab, ”tidaklah, hanya untuk hidup”. Bagi orang ini, kaya itu memalukan, ada juga yang merasa agak hina dan kebanyakannya merasa luar biasa atau mungkin menjadikannya golongan yang terasing daripada kawan-kawan. Orang ini tidak berani mengaku mereka ingin kaya – mereka lebih selesa memberi alasan untuk kekal biasa.
Orang ini kabur tentang erti kekayaan. Orang yang kabur tentang kekayaan, mana mungkin menjadi kaya dan berjaya dalam bisnes atau membina kewangannya. Mereka berfikiran kecil, seolah-olah berfikiran besar itu berdosa, dongeng, karut, busuk, mati dan kiamat.
Kita terutamanya orang Islam wajib kaya. Kita mesti menjadi orang yang menyelesaikan masalah bukan orang yang memberi masalah. Kita mesti menguasai bukan dikuasai. Kita mesti menjadi penyumbang bukan meminta sumbangan. Kita mesti kaya, kaya dan kaya.
2. Salah Tanggap Tentang Kerjaya Bisnes
Orang yang telah menceburi bisnes tetapi masih salah tanggap tentang bisnes pasti akan gagal. Was-was dengan kerjaya bisnes adalah yang paling bahaya. Orang ini menganggap bisnes hanya untuk dapat duit poket tambahan. Tanggapan mereka itu akan menjadi benar kerana kita akan dapat apa yang kita fikirkan.
Orang yang buat bisnes tetapi masih menganggap makan gaji lebih utama juga akan terbatas. Mana mungkin orang makan gaji akan lebih kaya daripada majikan yang membina bisnes. Jika anda berniaga, fokus kepada bisnes - ia milik anda.
Orang buat bisnes tetapi menganggap bisnes bukan kerjaya pilihan Tuhan juga tidak pegi jauh. Islam telah menyebut 9/10 rezeki yang ditaburkan oleh Allah ialah kepada bisnes. Hanya 10% sahaja rezeki dari kerjaya lain. Secara statistiknya, jika Tuhan menurunkan rezeki sebanyak RM20 billion, maka RM18 billion adalah untuk usahawan dan RM2 billion untuk pekerja. Dengan nisbah 1:10 antara usahawan dengan pekerja yang ada di negara-negara sedang membangun, anda boleh buktikan sendiri – rujuk statistik negara Malaysia.
3. Ingin Terlalu Cepat Kaya & Mewah
Ini juga penyakit orang gagal dalam bisnes. Buat sahaja bisnes terus terlalu ghairah untuk hidup mewah. Orang ini akan melakukan apa sahaja asalkan mereka cepat mewah. Larangan Tuhan, adat budaya, kemanusiaan dan etika semua dilanggar demi atas nama bersungguh dan teruja untuk kaya dan hidup mewah. Orang ini akan susah juga akhirnya.
Orang ini tidak sanggup menangguhkan keinginan hidup mewahnya. Untung sahaja terus beli kereta mewah, rumah mewah, pakaian mewah, aksesori mewah dan macam-macam barangan mewah yang lain. Adakalanya orang ini sanggup menggunakan wang modal atau sumber kredit untuk memiliki hidup mewah dalam masa yang singkat. Biasanya bisnes dan kewangan orang ini akan bermasalah. Akhirnya belum sampai 5 tahun mereka ’gulung tikar’.
Orang ini, lebih parah apabila menggunakan bisnesnya untuk menunjuk-nunjuk yang kononnya bisnes beliau hebat – ”lihatlah kawan-kawan dalam masa yang sangat singkat saya sudah mampu memiliki semua ini”. Hakikatnya? Orang yang begini pasti tahu bagaimana rasanya. Riak jawapannya gagal.
4. Malas belajar
Paling ramai orang gagal dalam bisnes dan membina kewangan ialah kerana malas belajar. Lain bisnes, lain ilmunya. Malah walaupun dalam bisnes yang hampir sama, ilmu menjualnya dan mengembangkannya berbeza-beza. Hanya dengan menggunakan ilmu yang sedia ada untuk bisnes yang baru pasti tidak lancar.
Kelaziman dalam dunia bisnes tersedia pelbagai kursus, latihan, seminar, perjumpaan dan perbincangan. Lazim juga bagi orang ini mereka malas datang belajar. Orang ini rasa dia sudah tahu, tiada pentingnya meluangkan masa belajar. Keutamaan mereka hanya kepada bersantai kemudian pergi menjual dan bersantai kemudian pergi menjual. Ia samalah ibaratnya seperti penebang pokok yang hanya berulang kali menebang kemudian berehat di tepi sungai tanpa mengasah kapaknya. Kapak yang tumpul tidak mungkin mampu menebang banyak pokok, malah tenaga yang digunakan juga sangat banyak. Orang ini akan keletihan sambil hasilnya pula sedikit.
Orang yang tidak mementingkan ilmu tidak disukai oleh Tuhan. Hidayah akan terhalang, rezeki akan tersekat.
Orang yang malas belajar pasti tidak mampu mengajar. Apabila tiada ilmu yang boleh diajar, tiadalah orang hebat mahu mendampingi. Orang ini akan kesunyian, lemah dan hilang semangat – akhirnya meninggalkan bisnesnya.
5. Malu menawarkan perkhidmatan
Orang ini hanya tahu membuka kedai tetapi malu untuk mempelawa pelanggan membeli barangannya. Kedainya umpama muzium, hanya menjadi tontonan pelanggan sahaja. Orang ini mempunyai produk dan perkhidmatan yang hebat tetapi malu membuka mulut serta malu mencadangkan kepada pelanggan untuk membeli seterusnya memiliki kepuasan daripada produk dan perkhidmatan tersebut.
Orang ini malu tidak bertempat. Barang yang baik malu untuk diberitahu tetapi hal yang buruk riuh didedahkan. Apa yang orang ini dapat ialah apa yang busuk sahaja.
Orang ini malu meminta. Psikolgi menjelaskan tanpa permintaan pihak lain tidak tahu apa yang hendak diberikan. Prinsip ekonomi pula menyatakan tanpa permintaan tiadalah penawaran. Jadi orang ini malu untuk meminta pelanggannya membeli, malu untuk meminta bayaran, malu untuk meminta komitmen, malu, malu dan malu. Malu bertanya sesat jalan. Malu menjual dan menawarkan perkhidmatan, gagallah bisnes.
6. Hanya mahu untung, tidak mahu melabur
Orang ini ibarat seorang penjual mi rebus yang hanya mahu menjual mi rebusnya sahaja tanpa mahu membeli mi. Mahu untung sahaja, modal tidak mahu keluar. Mahu kaya sahaja, usaha tidak mahu. Mahu duit sahaja, pelaburan tidak mahu. Mahu orang berlaku adil padanya tetapi tidak mahu berlaku adil pada orang. Orang ini juga biasanya gagal membina kewanagan.
Orang ini tidak suka risiko – mahu untung tetapi risiko tidak mahu. Ini orang zalim. Tuhan akan menzalimi orang ini.
Orang ini mahu berjaya, banyak duit dan dikenali, tetapi tidak mahu melaburkan modal, masa, tenaga, ilmu dan idea. Mahu jadi jutawan tetapi melaburkan modal RM5, melaburkan masa bekerja 5 jam sebulan, melaburkan perjalanan 5 km seminggu dan melaburkan peluang menuntut ilmu 5 minit sehari.
7. Sombong, tidak mahu minta pada Tuhan
Orang ini hanya mengguna keupayaan dirinya sahaja tanpa memohon kepada Tuhan yang mencipta dan mengilhamkan idea kepadanya. Dari pagi hingga ke malam berniaga dengan sepenuh kudrat, minda dan emosi tetapi sering terlupa untuk memita doa daripada Tuhan.
Apa sahaja rezeki adalah anugerah Tuhan, kita hanya mengusahakannya sahaja. Jadi mintalah pada Tuhan.