KEMBANGKAN WANG ANDA SECARA ISLAM dan PROFESIONAL

KEMBANGKAN WANG ANDA SECARA ISLAM dan PROFESIONAL

Sabtu, 12 April 2008

Beli Semasa Murah, Jual Apabila Mahal

Murah Beli, Murah Beli, Murah Beli… Mahal Jual!

Hukum membeli adalah sama dengan hukum melabur dan hukum membuat untung lebih tinggi. Untuk menikmati untung yang lebih tinggi, biasanya kita akan membeli sesuatu barangan pada harga rendah atau menurun. Sama juga dengan melabur dalam unit amanah – apabila berlaku penurunan harga akibat penurunan pasaran sama ada dalam negara atau luar negara, ia adalah masa untuk kita membeli atau menambah unit amanah kita dengan agresif. Dalam erti kata lain, laburlah lagi duit anda lebih banyak pada waktu ini.

Misalnya dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, pasaran saham di Malaysia mengalami penurunan akibat kesan masalah ekonomi di Amerika Syarikat dan beberapa negara lain. Ada juga sedikit kesan tidak langsung ekoran pilihanraya umum. Prestasi Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) merosot lebih 200 mata. Ia menyebabkan harga unit amanah juga menurun sedikit.

Bagi pelabur yang kurang maklumat benar mereka akan panik dan takut. Hinggakan ada di kalangan pelabur yang tergesa-gesa menjual unit amanah mereka. Alasannya takut rugi. Ada pula pelabur yang lain, tidak mahu melabur atau menambah pelaburan mereka dengan alasan ekonomi dan pasaran tidak baik, tidak stabil sekarang.

Berbeza dengan pelabur yang cukup maklumat yang betul, mereka akan tersenyum kerana inilah masa untuk mereka memasuki pasaran atau melabur dengan amaun yang lebih besar. Bukan senang untuk mendapat peluang harga unit saham berada diparas yang murah. Murah maka beli. Apabila pasaran naik sahaja sedikit kita sudah untung. Berbanding dengan mereka yang tunggu pasaran dan harga naik semula baru nak melabur, maka mereka perlu menunggu pasaran naik lebih tinggi untuk mengaut untung.

Pada saat-saat seperti ini, anda sepatutnya membeli atau memegang pelaburan anda untuk tempoh sederhana dan panjang. Jangan jual waktu harga murah, juallah semasa harga mahal. Prinsip ini dinamakan ’beli dan pegang’.

Untuk mengukuhkan maklumat anda, sifat pasaran atau ekonomi ialah turun dan naik. Sifat berniaga ialah untung dan rugi. Jika anda hanya ingin naik dan untung, anda tidak berpijak di bumi nyata – itu khayalan sahaja. Jika anda anggap ekonomi tidak bagus sentiasa turun sahaja juga adalah salah – boleh saya katakan anda ’menipu’ atau menafikan untung yang anda telah dapat dengan mengatakan anda rugi. Ini semua salah dari segi ilmu dan tabii.

Soalan yang mudah boleh kita tanya pada diri kita sendiri – Berguna atau tidak pasang dan surut air laut? Berguna atau tidak siang dan malam? Berguna atau tidak lelaki dan perempuan? Berguna atau tidak naik dan turun? Berguna atau tidak untung dan rugi? Semuanya ada peranan dan fungsi. Ilmu dan maklumat akan membezakan antara orang yang mendapat manfaat dengan orang yang ketinggalan.
Teruskan Melabur Sehingga Matlamat Kewangan Anda Tercapai.

Selamat Melabur.