KEMBANGKAN WANG ANDA SECARA ISLAM dan PROFESIONAL

KEMBANGKAN WANG ANDA SECARA ISLAM dan PROFESIONAL

Isnin, 30 Jun 2008

BUAT UNTUNG DENGAN MEMANFAATKAN KEADAAN


Sebelum saya memberikan tip berguna untuk anda manfaatkan, sekali lagi ingin saya jelaskan bahawa pelaburan Unit Amanah direkabentuk untuk tujuan kewangan jangka sederhana dan panjang. Antara tujuan utama Unit Amanah ialah:-

- untuk menyediakan wang yang secukupnya bagi perbelanjaan hidup yang selesa sepanjang hayat selepas pencen;
- menyediakan dana pendidikan anak-anak yang dirancang masuk ke universiti;
- menyediakan wang yang secukupnya untuk membeli rumah;
- mengumpul kekayaan (cth. RM1 juta pada usia 45 tahun);
- menyelamatkan wang (modal dan untung) yang sedia ada; dan
- pelbagai tujuan peribadi yang lain.
Ia memerlukan tempoh pelaburan lebih dari 3 tahun. Dengan kata lain, apabila anda melabur dalam Unit Amanah, anda perlu faham bahawa ia adalah untuk kegunaan 3 tahun ke atas. Ia tidak sama sifatnya dengan simpanan biasa. Wang pelaburan dengan wang untuk kegunaan jangka pendek perlu diasingkan. Wang (modal) pelaburan adalah untuk dikembangkan supaya menjadi lebih aktif dan banyak. Bagi kegunaan semasa, ia perlu diletak dalam akaun simpanan biasa di bank.

Bagaimana anda boleh buat untung besar dengan keadaan pasaran ekonomi sekarang?
Ya, anda memang boleh memanfaatkan situasi sekarang. Pada hari ini Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) yang menjadi kayu penunjuk pasaran saham dan ekonomi am semasa berada pada paras 1186 mata. Pada pengamatan saya ini adalah angka terendah yang dicapai dalam tempoh setahun kebelakangan. Dalam tempoh 6 bulan ini pasaran saham kita agak mendatar dan secara puratanya ia berada pada paras rendah dalam tempoh 3 tahun. Oleh itu adalah menjadi peluang kepada kita semua yang merupakan pelabur Unit Amanah untuk menggiatkan usaha menambah pelaburan. Inilah masa melabur banyak-banyak. Ia boleh diibaratkan sebagai masa ’bercucuk tanam’ atau ada juga pelabur saya yang menggelarkannya sebagai masa ’membeli belah’, ’big sale’, ’mega shopping’ dan ’jumble sale’.
Tujuan kita menambah pelaburan pada masa ini ialah untuk mengumpul lebih banyak unit. Unit-unit yang kita beli sekarang ini akan kita jual pada masa akan datang mengikut tahun bila kita memerlukannya. Untungnya anda menambah pelaburan sekarang ialah kerana anda akan dapat lebih banyak unit. Contohnya, jika anda telah melabur RM10,000 dalam Dana ABC pada harga RM1 seunit setahun yang lalu di mana pasaran adalah lebih tinggi daripada sekarang, anda telah mendapat 10,000 unit saham. Jika anda melabur RM10,000 lagi sekarang, pada pasaran yang lebih rendah dan murah dengan harga Dana ABC hanya RM0.80 seunit, anda mendapat 12,500 unit. Jadi unit saham anda kini terkumpul sebanyak 22,500.
Jika pasaran menurun lagi, katakan harga unit Dana ABC merendah kepada RM0.60. Bagi pelabur bijak tentu anda akan menambah lagi pelaburan. Katakan anda menambah pelaburan RM10,000 lagi pada harga unit RM0.60, bermakna anda mendapat 16,666 unit. Unit terkumpul anda sekarang sudah menjadi 39,166 (10,000+12,500+16,666).
Pada masa ini kos pelaburan anda semakin rendah. Pada asalnya kos pelaburan anda ialah RM1 untuk seunit dana, tetapi kini kos pelaburan anda hanya RM0.77 seunit (RM30,000 / 39,166).
Sudah pasti pula dalam beberapa bulan akan datang anda akan menerima agihan (dividen) tahunan. Katakan agihannya ialah RM0.05 (5 sen) seunit, pada harga dana RM0.80, ia akan menambah unit anda lagi. RM0.05 X 39,166 unit = RM1,958.30. RM1,958.30 X RM0.80 seunit = 1,566.64 unit. Jadi unit terkumpul anda sekarang ialah 40,732.64 unit. Berapakah kos pelaburan anda sekarang? Ya, hanya RM0.74 seunit. Bukankah ini menguntungkan?
(Perhatian: 1. Amaun setiap pelaburan tambahan minimum ialah RM100, tidak semestinya sama dengan jumlah pelaburan awal. 2. Penambahan boleh dibuat banyak kali mengikut keselesaan kewangan dan masa. 3. Strategi ini hanya untuk satu dana yang sama, tidak sesuai dialihkan (switch) ke dana lain dalam kategori sama yang harga unitnya berbeza)


Untuk meyakinkan anda, pasaran dan ekonomi kita pasti akan tinggi semula. KLCI pasti akan naik semula. Ini lumrah dan perkara biasa. Setiap jatuh pasti ada naik dan setaip kenaikan pasti ada menurun. Itulah adilnya pasaran, kerana tiada siapa di kalangan pemilik-pemilik syarikat, konglomerat , usahawan dan ahli politik yang mahu ekonominya sentiasa menurun. Teori dan sejarah (amali) telah membuktikan bahawa pasaran pasti akan naik selepas kejatuhan. Setiap kenaikan ada baiknya dan setiap kejatuhan juga ada baik dan peluangnya. Sebab itu juga, Unit Amanah dibentuk untuk memberi keadilan kepada para pelabur, setiap 3 tahun pasti ada perubahan. Laburlah untuk 3 tahun dan ke atas. Anda pasti untung.

Andaikan pelaburan anda sudah berusia 3 tahun pada 2 tahun akan datang. Andaikan juga harga Dana ABC menaik semula tetapi tidak banyak hanya kepada RM0.90 seunit. Iaitu kurang 10 sen daripada harga asal semasa anda mula melabur. Pada waktu itu anda ingin menjual kesemua unit dana pelaburan anda.
Sebelum itu anda perlu ingat, ada 2 kali lagi agihan tahunan yang telah diberikan iaitu pada tahun kedua dan ketiga. Katakan agihannya adalah sama seperti tahun pertama tadi iaitu RM0.05 seunit, juga pada harga RM0.80. Jadi unit terkumpul anda pada tahun ketiga ialah sebanyak 44,056.40.
Apabila anda jual unit amanah anda pada waktu itu anda akan memperolehi RM39,650.80. Berapakan untung anda?
Ya, RM9,650.80 (RM39,650.80 – RM30,000). Berapakah kadarnya? Kadar pulangan keseluruhan yang anda terima ialah 33% untuk pelaburan 3 tahun itu atau 11% keuntungan setiap tahun. Dengan kata lain, anda tidak perlu menunggu lama atau harga unit dana anda naik melebihi RM1 untuk membuat untung besar. Anda boleh melakukannya sekarang!
Selamat Melabur–Ambil Kesempatan Semasa Pasaran Menurun & Harga Rendah!

2 ulasan:

  1. T.Kasih atas ilham sdr. sy mmg percaya kpd apa yg sdr katakan. ianya bkn baru, tetapi kita yg kurang ilmu. Syukur, sdr mengetengahkannya. moga2 ramai yang sedar.

    BalasPadam
  2. Syabas, anda akan menikmati kewangan yang lebih baik dan kehidupan yang lebih baik di masa depan. Teruskan Melabur!

    BalasPadam